artikel kali ini Nur share dari sebuah blog milik Ustazah Fatimah Syarha Mohd Nordin. http://sebarkanbahagia.blogspot.com
Credits to ustazah, banyak input tentang Islam yang beliau kongsikan.
Remajaku sayang,
Usah terlalu peningkan kepala berfikir hendak berkahwin dengan siapa. Kenalilah ‘kriteria’nya sebelum ‘calon’nya. Imam Ghazali memperkenalkan kriteria pasangan soleh 10 tahun sebelum anaknya mula mencari.
“Mak abah saya tak buatpun macam Imam Ghazali,” cebik remaja.
Tidak mengapa! Mungkin mereka tidak tahu. Jika mereka tahu, boleh jadi mereka akan segera lakukannya. Maafkanlah mereka. Yang lepas biarlah lepas. Kita kan masih ada ‘hari ini’ untuk menambah ilmu?
Lebihkan ‘Menjadi’ daripada ‘Mencari’
Remaja,
Masih sudi lagi dengar ‘sharing’ daripada akak? Jom!
Sekiranya nanti dirimu meminati seseorang, sudah tentu dirimu tidak mahu bertepuk sebelah tangan. Betul kan?
Sekiranya dirimu meminang, sudah tentu kau tidak mahu pinanganmu ditolak. Setuju tak?
Tipnya mudah sahaja. Lebihkan ‘menjadi’ daripada ‘mencari’. Sinergikan dengan doa ke hadrat si Pemegang Hati. Insya-Allah cintamu pasti berbalas. Siapa yang tidak mahu sesusuk periba
“Hah, menjadi?”
Ya! Jadilah peribadi yang mampu mendidik diri sendiri. Kemudian, insya-Allah mampu menjadi pendidik buat generasi masa depan. Orang yang mempersiapkan diri menjadi individu Muslim lebih berpotensi membangunkan sebuah ‘baitul Muslim’ (rumah tangga yang menegakkan nilai-nilai Islam).
Mencegah Lebih Baik Daripada Merawat
Remaja semua nak kahwin, kan? Bagus! Normal tu. Alam perkahwinan bagaimana yang diinginkan? Penuh cinta atau penuh sengsara?
Ketahuilah, banyak punca-punca permasalahan dalam rumah tangga termasuklah masalah dalam mendidik anak-anak boleh dicegah seawal kita mempersiapkan diri menjadi peribadi soleh dan solehah. Juga seawal kita membuat pemilihan yang terbaik terhadap pasangan hidup kita. Inilah tanda kebijaksanaan mencegah sebelum merawat.
Bayangkan…
Lahirnya seorang bayi comel ke dunia. Suci. Bersih. Dia melihat ibunya yang susah tersenyum. Dia melihat ayahnya yang monyok memanjang. Dia melihat lingkungan keluarganya yang asyik bercakaran.
Secara fitrahnya, si kecil itu mencari-cari wajah yang berseri-seri. Telinganya mencari-cari kata-kata yang baik. Namun, ibubapanya yang gagal mempersiapkan diri dengan akhlak penuh senyuman dan kelembutan sebelum bernikah, biasanya akan terbawa-bawa akhlak itu selepas bernikah, dan selepas menjadi ibu bapa. Si kecil itu menadah dan menyerap dengan mudah apa sahaja yang terhidang di sekelilingnya itu. Agaknya, dia akan membesar menjadi anak yang bagaimana?
Remajaku sayang,
Remaja sudah tentu mahu menjadi ibubapa yang hebat suatu hari nanti kan? Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi peribadi anak-anak seperti pengaruh ibubapa, pemakanan, genetik, persekitaran, rakan sebaya, guru dan sebagainya. Faktor ibubapa adalah faktor yang paling besar kesannya ke atas agama anak-anak tersebut hinggakan Rasulullah SAW mengingatkan,
“Setiap bayi lahir dalam keadaan fitrah (Islam dan mengabdikan diri kepada Allah). Maka, ibubapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (HR. Bukhari).
Pesan Atok yang bernama Ibnul Qayyim al-Jauziyah, “Barangsiapa dengan sengaja tidak mengajarkan apa yang bermanfaat bagi anaknya dan meninggalkannya begitu sahaja, bererti dia telah melakukan suatu kejahatan yang sangat besar. Kerosakan pada diri anak kebanyakannya datang dari sisi orang tua yang mengabaikan mereka dan tidak mengajarkan kewajipan-kewajipan agama serta sunnah-sunnahnya.”
Semuanya Ujian
Jika remaja lahir dalam keluarga yang baik, bersyukurlah. Pengaruh baik ibubapa itu akan memberi kesan besar dalam melahirkan seorang remaja yang maju, hebat, berkeyakinan diri, tetap pendirian dan berwawasan jauh.
Jika remaja lahir dalam keluarga yang kurang baik, bersabarlah. Semua itu hakikatnya suatu ujian. Jangan merintih pada ujian. Kreatiflah mencari penyelesaian. Banyak hikmah di sebaliknya. Jika remaja positif menerima ujian ini, lihatlah kesan positif yang bakal diterima.
Antaranya, remaja yang biasa dileteri, dicalari hati dan perasaannya bakal menjadi ibubapa yang memahami jiwa anaknya. Belajar dari pengalaman itu, maka, dia mendidik dan menasihati anaknya dengan komunikasi berkesan, bukan dengan meleteri, menghukum, menunjuk protes diam, menutup pintu berdentum dentam atau memulau.
Antara lain juga ialah, remaja yang biasa disakiti, bakal menjadi ibubapa yang prihatin terhadap kesakitan anaknya, maka dia tidak memukul sembarangan. Pukulan hanya alternatif terakhir setelah nasihat diberikan berkali-kali dengan penuh hikmah. Itupun tidak boleh memukul ketika marah. Tidak boleh memukul untuk betul-betul menyakiti. Mesti bertujuan mendidik. Jika tidak, ini suatu pencabulan terhadap ‘amanah’ Allah. Allah tidak buta melihat sakitnya anak didera. Allah tidak tuli mendengar tangisan anak disakiti. ‘Amanah’ pasti ditanya!
Pilihan di Tanganmu!
Sambunglah kekuatan ibubapa kita. Usah diulangi kesilapan mereka. Jangan pula kita memilih kesilapan yang sama untuk mendidik anak-anak kita nanti. Bimbang, apa yang kita beri itulah biasanya yang kita dapat.
Pilihlah mencegah sebelum mengubat. Itu yang terbaik (high class). Namun, jika kita gagal ‘mencegah’ ketika remaja, jangan bunuh potensi hari ini untuk ‘merawat’. Sentiasa ada jalan. Yakinlah!
Analoginya, orang yang gagal ‘mencegah’ daripada mengamalkan cara hidup tidak sihat pada masa mudanya, mudah mendapat penyakit pada zaman tuanya. Ketika muda dia tidak mengambil makanan seimbang dan melakukan senaman rutin, lalu dia menderitai penyakit ‘Janda Manis’ iaitu sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.
Mengubat itu memang sakit. Tapi, lebih sakit lagi jika kita membiarkan diri menderitai kesakitan itu terus-menerus. Perlu mengubat setelah sakit! Andai seseorang diberi peluang mengundur ke masa lalu, sudah tentu dia memilih kebijaksanaan mencegah sebelum merawat.
Cegahlah dirimu daripada berakhlak buruk. Bimbang nanti anakmu juga mewarisi akhlak itu. Cegahlah dirimu daripada memilih pasangan yang tidak beragama atau tidak berminat mendalami agama. Bimbang nanti, anakmu menceduk akhlak pasanganmu itu. Pilihlah ibu atau ayah yang terbaik untuk anak-anakmu. Pengaruhnya sangat besar!
Anak Suatu Amanah
Jom, mari kita dengar pula pesan Atok yang bernama Imam Ghazali,
“Anak adalah amanah (bukan beban, tau!) di tangan kedua orang tuanya. Hatinya yang suci adalah mutiara yang masih mentah, belum dipahat mahupun dibentuk.
“Mutiara ini dapat dipahat dalam bentuk apapun, mudah condong kepada segala sesuatu. Apabila dibiasakan dan diajari dengan kebaikan, maka dia akan tumbuh dalam kebaikan itu.
“Dampaknya kedua orang tuanya akan hidup berbahagia di dunia dan di akhirat. Semua orang dapat menjadi guru dan pendidiknya. Namun, apabila dibiasakan dengan keburukan dan dilalaikan, seperti dilalaikan haiwan, pasti si anak akan celaka dan binasa. Dosanya akan melilit leher orang yang seharusnya bertanggung jawab atasnya dan menjadi walinya.” (Risalah anjahul wasa’il).
Abul A’la bersyair indah,
Seorang anak tumbuh dewasa di antara kita,
Sesuai dengan apa yang dibiasakan oleh bapanya,
Seorang pemuda tidaklah beragama dengan begitu sahaja,
Kerabatnyalah yang membiasakannya beragama.
0 comments:
Post a Comment